23 Februari 2010

Perjanjian di waktu pagi - Imam Al-Ghazali

Aku ini tidak memiliki dagangan apa pun selain umur yang tertinggal ini, mungkin masih agak lama atau hanya tinggal sedikit. Modalku iaitu usiaku tadi telah habis, maka habislah segala-galanya yang aku pergunakan untuk berdagang tadi.

Demikianlah perumpamaan diri, jiwa dan hatiku semasa masih di alam dunia ini. Apabila itu sudah terjadi, maka terputuslah aku dalam hal melakukan dan memperkembangkan perdagangan ini dan dalam hal mencari keuntungan. Aku tetap menganggap bahawa hari ini adalah hari baru bagiku, dan Allah Taala telah menangguhkan kematianku. Kematianku masih diperpanjangkan sekadarnya, juga kenikmatanNya telah dilimpahkan padaku. Kalau ditakdirkan aku mati, pasti aku mengharapkan agar Allah mengembalikan aku ke alam dunia, walaupun hanya sehari sahaja dan di dunia ini aku akan beramal soleh.

Kerana itu hai jiwa, anggaplah dirimu itu sudah meninggal dunia, kemudian kau telah dikembalikan oleh Allah ke dunia. Jadi tidak patutlah kalau kau menambah perkara-perkara yang berdosa yang dimurkai oleh Allah. Mulai saat ini janganlah kau sia-siakan kasih sayang Allah itu, maka janganlah disia-siakan hari yang berupa tambahan rahmatNya. Bersegeralah melakukan amal soleh yang diredhaiNya. Ingatlah wahai jiwa yang miskin! Sesungguhnya setiap hembusan yang kau keluarkan melalui hidungmu itu sebenarnya adalah suatu permata yang tidak dapat dibandingkan harga serta nilainya sebab amat tinggi harganya.

Hai jiwa! Jangan kau sampai tersesat jalan, dan ingatlah bahawasanya sehari semalam itu ada 24 jam. Oleh kerananya pada hari ini wajiblah kau giat dalam beramal soleh yang dapat dipergunakan sebagai simpanan. Jadi makmurkanlah isi almari tabungmu untuk pergi ke alam akhirat, jangan kau tinggalkan kosong melompong tanpa sesuatu apa pun di dalamnya, sebab semuanya itu akan menjadi milikmu yang akan menyelamatkan dirimu dari azab Allah Taala yang pedih dan amat menyakitkan.

Hai jiwa! Janganlah kau condong pada kesukaanmu yang salah seperti bermalas-malasan mengerjakan amal soleh tadi, membiarkan waktu senggangmu hanya untuk bermain-main yang tidak ada manfaatnya sedikitpun, juga kegemaranmu selalu beristirehat dan sentiasa bersantai, sebab bila itu yang kau kerjakan, maka kau akan terlambat untuk meraih darjat, atau tingkat yang dapat dicapai oleh golongan orang yang dapat menempati tempat Illiyyin, yakni kedudukan yang tertinggi dalam alam akhirat nanti.

Ini hanya dapat diduduki oleh orang yang giat dan suka beramal, sedang kau dengan kemalasan dan kelengahanmu tadi akan menyesal untuk selama-lamanya. Waktu itu merubahnya tidak mungkin ada, sebab semua pintu telah tertutup rapat. Perhatikanlah semua nasihat di atas itu, agar kau hidup selamat dan berbahagia serta memperoleh ampunan dan keredaan Allah Subhanahu Wa Taala.


sumber: laman web ISMA


30 Januari 2010

Golongan Yang di Sukai oleh ALLAH

Golongan Yang di Sukai oleh ALLAH


  1. mereka yang bertaubat dan menyucikan diri. (QS 2:222, 9:108)
  2. mereka yang berbuat baik (QS 2:195, 3:124, QS 3:148, 5:93)
  3. mereka yang tidak melampaui batas (QS 2:190, 5:87, 7:55)
  4. mereka yang tidak berbuat kerosakan (QS 2:205, 28:77)
  5. mereka yang tidak ingkar atau berbuat dosa (QS 2:276, 4:107)
  6. mereka yang tidak kufur (QS 3:32, 22:38, 30:45)
  7. mereka yang tidak berbuat zalim (QS 3:57, 3:140, 42:40 )
  8. mereka yang bertaqwa (QS 3:76, 9:4, 9:7)
  9. mereka yang sabar (QS 3:146)
  10. mereka yang jaga mulut (QS 4:148)
  11. mereka yang adil (QS 5:42, 60:8)
  12. mereka yang tidak membazir (QS 7:31)
  13. mereka yang tidak berbuat khianat (QS 8:58)
  14. mereka yang tidak sombong (QS 16:23, 31:18, 57:23)
  15. mereka yang tidak terlampau bergembira dengan harta yang banyak (QS 28:76)
  16. mereka yang berjihad di jalan ALLAH (QS 61:4)
  17. mereka yang berlemah lembut/kasih sayang dengan mukmin, keras/tegas dengan orang kafir, berjihad di jalan ALLAH, dan tidak takut celaan golongan yang suka mencari kesalahan (QS 5:54)

13 April 2009

Ilmu yang bermanfaat

Ilmu yang bermanfaat ialah apa yang  dapat


  1. menambah rasa takut akan Allah.
  2. menambah di dalam penglihatan hatimu (basirah) akan kecelaan dirimu
  3. menambah di dalam pengenalanmu (makrifat) akan ibadat kepada tuhanmu
  4. mengurang akan gemarmu kepada dunia dan menambah gemarmu kepada akhirat
  5. membuka mata hatimu dengan mengetahui perkara yang membinasakan akan amalan-amalanmu hingga engkau peliharakan daripadanya
  6. memperlihatkan engkau akan tipu daya syaitan



Sumber rujukan:

daripada Imam al-Ghazali 

dipetik daripada kitab Hidayatus Salikin karangan Syaikh Abdus Samad Al-Palembangi 

mukasurat 4-5


petua untuk mengelakkan gangguan syaitan



  1. membaca basmalah ketika mula pekerjaan untuk keberkahan

  2. memperbanyakkan zikir dan istighfar

  3. memperbanyakkan membaca hawqalah. لااله الا انت سبحانك انّي كنت من الظالمين

  4. doa

  5. dirikan solah berjemaah

  6. wudhu’ sebelum tidur, membaca ayat kursi, muawwazatain: surah al-falaq dan surah an-nas.

  7. tidak mendengar muzik dan lagu tidak senonoh.

  8. tidak mendedahkan aurat, tidak guna minyak wangi kalau perempuan.

  9. istiazah/tawwuz dan bacaan al-quran terutamanya surah al-baqarah

  10. doa sebelum masuk kamar mandi / tandas dan ketika keluar

  11. membekali diri dengan ilmu pengetahuan

  12. jaga kebersihan hati dan badan

    1. husnuz zhan

    2. zikir

    3. bersihkan daripada najis

  13. istighfar dan taubat.


Sumber: ceramah ustaz misdi


pintu-pintu masuk syaitan ke hati manusia


  1. kebodohan – bodoh makrifat Allah, tak tahu baca Al-Quran, solat, hukum, halal dan haram.

  2. nafsu ammarah

  3. cinta dunia dan kebendaan

  4. angan-angan

  5. cita-cita

  6. kikir, bakhil

  7. kibr (besar diri)

  8. suka dipuji

  9. riya’

  10. ujub

  11. mengeluh dan tidak sabar

  12. hawa nafsu

  13. suu’ zhan

  14. meremehkan orang lain

  15. merasa aman dari makar Allah

  16. hasad dan husud

  17. putus asa dari rahmat Allah


sumber: ceramah ustaz misdi


Empat Dasar untuk Mencapai Martabat Muqarrabin



Oleh: Sayyidi Sheikh Ahmad bin Idris QaddasALLAHUsirrahu

Dengan nama ALLAH yang amat pengasih lagi amat penyayang. Rahmat Allah ke atas penghulu kita Muhammad dan ke atas keluarganya setiap detik dan setiap nafas malah sebanyak bilangan yang diketahui oleh Allah.

Perkara yang lengkap dan boleh menyampaikan seseorang itu kepada tujuannya dalam mengikuti jalan Allah ialah dengan berpandukan dasar-dasar yang berikut:

1. Dasar pertama: (Muhasabah)

Orang berakal yang hendak menyelamatkan dirinya daripada semua kebinasaan, serta ingin pula ianya dimasukkan oleh Allah ke dalam golongan orang-orang yang muqarrabin dalam semua perjalan dan tindak-tanduknya, apabila ia berazam hendak melakukan sesuatu perkara, sama ada dengan cara perkataan ataupun perbuatan, ia terlebih dahulu hendaklah menyedari bahawa ia akan disoal oleh Allah, tentang perkara itu. Oleh itu, ia hendaklah menyediakan jawapan bagi soalan-soalan Allah itu sebelum ia memulakannya. Sekiranya ia rasa bahawa it boleh memberi jawapan yang betul dan lurus serta diredhai oleh Allah, maka bolehlah ia memulakan perkara itu. Dengan cara demikian, ia akan memperolehi kepujian di dunia dan di akhirat. Sebaliknya kalau ia rasa bahawa jawapannya tidak memuaskan dan tidak akan diredhai oleh Allah Taala, maka ia hendaklah menjauhi diri dari perkara itu kerana perkara itu akan membawa akibat buruk kepadanya kalau dilakukannya.

Dasar ini adalah menjadi asas bagi semua perbuatan dan perkataan. Sesiapa yang berpegang teguh dengan dasar ini, maka semua akhlaknya berdasarkan kelurusan, baik pada zahir mahupun batin, dan tidak ada sebarang cacat cedera. Inilah maksud sabda Nabi SallaLLAHU alaihi wassalam yang ertinya:
"Hisabkanlah diri kamu sebelum kamu dihisabkan (di akhirat), dan timbangkanlah dia sebelum kami menimbangkannnya (di akhirat)."

2. Dasar kedua: (Mengharap Redha Allah semata-mata)

Seseorang Muslim tidak patut melakukan sesuatu perbuatan atau melafazkan sesuatu perkataan melainkan kerana mencari keredhaan Allah SWT. Kalaulah seseorang itu bertujuan benar untuk mencari keredhaan Allah Taala dan di samping itu hatinya bersih dari segala tujuan yang lain, serta berpegang teguh dengan dasar ini, ia tetap tidak akan berkata atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan setelah ia yakin dan berhemat-hemat. Semua amalannya akan tetap ikhlas.

Inilah maksud firman Allah Azzawajalla kepada RasulNya yang amat besar dan kekasihNya yang amat mulia iaitu Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Kahf ayat 28:

Ertinya: "Dan bersabarlah kamu hai Muhammad bersama-sama dengan orang-orang yang menyerukan Tuhan mereka di waktu pagi dan petang dengan mengharapkan keredhaan Allah."

Dan firman Allah Azzawajalla dalam surah Al-Lail ayat 9:

Ertiya: "Pada hal tidak ada padanya budi seorang yang patut dibalas melainkan kerana hendak mencari keredhaan Tuhan yang maha Tinggi dan Tuhannya akan meredhainya."

3. Dasar ketiga: (Mengeratkan SilaturRahim)

Seseorang Muslim, hendaklah mempunyai penuh perasaan belas kasihan kepada semua saudara Muslim tanpa beza-membeza di antara kaya dan miskin, berpangkat atau tidak berpangkat. Ia hendaklah menyempurnakan segala hak mereka sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Islam seperti memulia, menghormati dan menolong mereka. Kalaulah ia berpegang teguh kepada dasar ini dengan tulus ikhlas nescaya Allah akan melimpahkan cahaya dan rahmatNya ke atas seluruh jasadnya, dan dianugerahkan pula rasa kemanisan rahmat itu. Orang seperti ini akan mendapat habuan yang banyak dari pesaka kenabian yang terkandung di dalam firman Allah Azzawajalla, Surah Al-Ambiyaa', ayat 107.

Ertinya: "Tidak kami utuskan engkau hai Muhammad melainkan kerana rahmat kepada sekalian alam."

Dan inilah maksud sabda Rasulullah SAW.

Ertinya: "Allah Azzawajalla ada tiga kehormatan. Siapa yang memeliharanya, Allah akan meringankan ke atasnya urusan agama dan dunianya. Sebaliknya siapa yang tidak memeliharanya, Allah tidak akan memelihara apa pun untuknya, iaitu kehormatan Islam, kehormatanku dan kehormatan rahimku" (iaitu persaudaraan Islam).

Dan seperti tujuan ini juga sabda Nabi SAW kepada Saiyidina Abu Bakar RA:

Ertinya: "Jangan menghinakan sesiapa pun dari kaum Muslimin, kerana orang Muslim yang kecil dan hina pada pandangan kamu itu adalah besar dan mulia di sisi Allah."

4. Dasar keempat: (Menyempurnakan Akhlak)

Kemuliaan akhlak yang menjadi tujuan utama diutuskan Rasulullah SAW untuk menyempurnakannya, sebagaimana sabdanya:

Ertinya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan budi pekerti."

Dasar ini merupakan pati dan intisari agama Islam. Maksudnya, seseorang hamba Allah hendaklah bersifat lemah lembut terhadap keluarga, hamba sahaya dan seluruh kaum Muslimin.

Sabda Rasulullah SAW,

Ertinya: "Ahli syurga ialah tiap-tiap orang yang bersifat lemah lembut dan mudah kira bicara, sedangkan ahli neraka pula ialah tiap-tiap orang yang kasar dan keras." Lalu sahabat-sahabat bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan keras itu Hai Rasulullah? Baginda menjawab, ialah orang yang bersikap kasar terhadap keluarga, sahabat handai dan terhadap kaum suku sendiri.

Dan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 83,

Ertinya: "... Dan katakanlah kepada manusia dengan perkataan yang baik ... " iaitu tidak mengatakan sesuatu yang keji. Disamping itu Allah berfirman lagi dalam surah Al-Isra' ayat 53,

Ertinya: "... Dan katakanlah kepada hambaKu, hendaklah mereka mengatakan perkataan yang lebih baik.

Ini bererti bahawa bukan sahaja dikehendaki mengatakan perkataan yang baik malah yang lebih baik daripada itu.

Pendeknya apa saja perkataan dan perbuatan baik yang kamu suka dikata atau dibuat orang kepada kamu, maka kata dan buatlah kepada makhluk-makhluk Allah Taala.  Sebaliknya apa yang kamu benci dari orang lain terhadap diri kamu, baik perkataan ataupun perbuatan yang keji, maka hendaklah kamu jauhinya kerana Allah akan berbuat kepada hambaNya mengikut sifat dan perangai hamba itu terhadap makhlukNya. Balasan Allah terhadap sesuatu sifat hamba adalah dengan bentuk yang sesuai dan sewajar dengannya.

Orang yang jadi 'Syurga' kepada makhluk Allah iaitu sebagai tempat untuk mendapat rahmat, tempat berteduh dan berehat, maka demikianlah juga balasan Allah kepadanya. Begitu juga halnya dengan orang yang memuliakan seseorang hamba kerana meraikan tuannya adalah pada hakikatnya ia memuliakan tuan itu sendiri. Maksud yang seperti inilah tersebut dalam hadis Qudsi iaitu Allah akan berfirman kepada hambanya di Akhirat kelak:

Erti: "Aku telah lapar tetapi engkau tidak menjamuku. Aku meminta minuman tetapi engkau tidak memberikannya kepada ku. Aku telah sakit, tetapi engkau tidak menziarahi ku. Maka hamba akan bertanya, bagaimanakah engkau lapar sedangkan engkau Tuhan sekalian alam? Lalu Allah mentafsirkan firmanNya itu: Tidakkah hambaKu si Anu telah sakit, kalaulah engkau menziarahinya nescaya engkau dapat Aku disisinya. Tidakkah hambaKu  si Anu telah lapar, kalau engkau menjamunya nescaya engkau dapatiKu disisinya. Tidakkah hambaKu si Anu telah meminta minuman dari engkau. Kalau engkau beri minuman kepadanya, nescaya engkau dapati perkara itu disisiKu."

 Demikianlah diterangkan oleh Allah SWT akan maksud perkataan "AKU" dalam firmanNya: "HambaKu si Anu telah lapar, hambaKu si Anu telah sakit, hambaKu si Anu telah meminta minuman."

Pendeknya berbuat sesuatu kebaikan kepada seseorang hamba kerana menghormati tuannya, adalah dianggap berbuat baik kepada tuannya sendiri. Orang yang berpegang teguh dengan makam ini, segala perbuatan dan kira bicaranya hanya dengan Allah SWT yakni tanpa mengambil perhatian dan mengingati sesuatu yang lain daripadaNya.

Ketinggian akhlak terhadap Allah dan terhadap hambaNya adalah terhimpun dalam sabda junjungan kita, Muhammad SAW yang berbunyi,

Ertinya: "Muliakan Allah dengan menjauhkan diri dari mengerjakan perkara-perkara yag ditegah, iaitu hendaknya janganlah kamu dilihat oleh Allah SWT berada di tempat yang dilarangNya dan janganlah pula hilang daripada tempat yang disuruhNya."

Perkara yang boleh menimbulkan perasaan malu seseorang hamba kepada Allah SWT ialah memikirkan dengan penuh perasaan yang Allah memerhati dan menyaksikan tiap-tiap suatu, sebagaiman firman Allah SWT surah Al-Baqarah ayat 235,

Ertinya: "Ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang berada di dalam hati kamu. Maka takutlah kepadaNya."

Apabila seseorang hamba memenuhi hatinya dengan renungan terhadap Allah dan selalu diamalkannya hingga menjadi kebiasaan kepadanya, maka timbullah perasaan malu kepada Allah. Dia tidak akan melafazkan sesuatu perkataan atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah dan yang tidak layak dengan kebesaranNya, selama harinya teringat kepada firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 4,

Ertinya: "Dia bersama kamu di mana-mana kamu berada."

Allah tetap berada disampingnya dan memandang kepadanya. Seseorang hamba yang hendak melakukan zina atau curi umpamanya, kalau diketahuinya ada orang yang melihatnya, sudah tentu ia tidak sanggup hendak melakukannya malah mencercakan dirinya serta memandang buruk kepada pekerjaan itu.

Kalaulah begitu keadaannya terhadap sesama makhluk yang tidak memiliki kuasa kebencanaan dan kemanfaatan, hanya yang mendorongkan dia berhenti dari melakukan sesuatu yang buruk dan keji itu semata-mata kerana takut jatuh maruah dan darjat di mata manusia sahaja, maka tidak boleh diragukan lagi kalau hatinya ingat kepada Allah ketika memulakan perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah itu, tentu akan tercegah dari melakukannya. Inilah maksud sabda Nabi Muhammad SAW tentang ihsan.

Ertinya: "Beribadatlah engkau kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, jikalau engkau tidak dapat melihatNya (sudah tentu tidak dapat melihat) maka ia tetap melihat engkau."

Orang yang berada dalam keadaan ini, tentu akan menunaikan ibadat dengan sebaik-baiknya mengikut sedalam mana ilmunya terhadap penglihatan Allah kepadanya.


Kelebihan “Baqiyaatu Sholihaat”





  1. Abul-Laits dari seorang tsiqah meriwayatkan dengan sanadnya dari Khalid bin Imraan berkata: Nabi S.A.W bersabda kepada kaumnya:


خذوا جنتكم. فقالوا يا رسول الله أمن عدوّ حضر؟ قال: لا بل من النار. قالوا وما جنتنا من النار؟ - قال : سبحان الله والحمدلله ولااله الاّ الله والله اكبر ولا حول ولا قوّة الاّ بالله العلىّ العليّ العظيم. فانّهنّ يأتين يوم القيامة مقدّمات ومجنبات ومعقـّيات.


Siapkan perisaimu! Mereka bertanya: Apakah ada musuh tiba ya Rasulullah? Jawabnya: Tidak, tetapi perisai dari api neraka. Mereka bertanya: Apakah perisai dari neraka itu? Jawabnya:


Membaca:

سبحان الله والحمدلله ولااله الاّ الله والله اكبر ولا حول ولا قوّة الا بالله العلىّ العظيم

 

( Subhanallahu, Walhamdu lillahi, Wa la ilaha illa llahu, Wallahu Akbaru, Wa Laa Haula Wa Laa Quwwata Illa Billahil Aliyyil Adzhim. )


( Ertinya – Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan kecuali Allah, dan Allah yang maha besar dan tiada daya, tiada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung )


Maka bacaan itu akan datang pada hari qiyamat mendahului, dan menghindarkan dari api neraka dan menjaga keselamatannya.


  1. Abul-Laits diberitahu oleh seorang tsiqah meriwayatkan dengan sanadnya dari Adh-dhahaak dari Ibnu Abbas r.a. berkata:


جاء اسرافيل عليه السّلام الى النبيّ صلى الله عليه وسلم وقال: قل يا محمد سبحان الله والحمدلله ولااله الاّ الله والله اكبر ولا حول ولا قوّة الا بالله العلىّ العظيم عدد ما علم الله وزنة ما علم الله وملء ما علم الله. فمن قالها مرّة كتب الله له خمس خصال: كتب من الذاكرين الله كثيرا وكان افضل من ذكره بالليل والنّهار. وكان له عرسا في الجنّة . وتحاتت عنه ذنوبه كما يتحات ورق الِشّجر اليابس. ونظر الله اليه ومن نظر اليه لم يعذّبه


Malaikat Israfil a.s. datang kepada Nabi S.A.W. berkata: Ya Muhammad, bacalah

سبحان الله والحمدلله ولااله الاّ الله والله اكبر ولا حول ولا قوّة الا بالله العلىّ العظي عدد ما علم الله وزنة ما علم الله وملء ما علم الله


( Subhanallahu, Walhamdu lillahi, Wa la ilaha illallahu, Wallahu Akbaru, Wa Laa Haula Wa Laa Quwwata Illa Billahil Aliyyil Adzhimi. ‘Adada Ma ‘Alima Allahu, Wa Zinata Ma ‘Alima Allahu, Wa Mil'a Ma ‘Alima Allahu )


( Ertinya – Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan kecuali Allah, dan Allah Yang Maha Besar dan tiada daya, tiada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung sebanyak-banyaknya apa yang diketahui oleh Allah, dan seberat apa yang diketahui oleh Allah, dan sepenuh apa yang diketahui oleh Allah)


Maka siapa yang membaca itu satu kali, Allah mencatat untuknya lima macam: Ditulis dari golongan orang yang berzikir sebanyak-banyaknya. Dan menjadi seutama-utama orang yang berzikir siang malam. Dan menjadi tanaman baginya di syurga. Dan gugur semua dosa-dosanya sebagaimana gugurnya dedaun pohon kering. Dan Allah akan melihat padanya dengan pandangan rahmatNya, dan siapa yang dilihat oleh Allah pasti tidak akan disiksa.



sumber: dipetik daripada kitab tanbihul ghafilin, karya Imam Abul Laits Assamarqandi.